Friday, 24 April 2015

PANDANGAN JAUH (FORESIGHT)



         

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary adalah amat sesuai jika dikaitkan sebagai seorang usahawan yang berpandangan jauh. Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yaman.. Pada pertengahan tahun 1940-an, bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan untuk menetap di Alor Setar, Kedah. Tan Sri Syed Mokhtar merupakan anak yang ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Tan Sri Syed Mokhtar memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila usianya mencecah 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru. Beliau tinggal bersama bapa saudaranya sehingga tingkatan dua dan kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya sehingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s.

          Disebabkan oleh latar belakang keluarga yang miskin, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari terpaksa melangkah ke dunia bekerja dalam kehidupan awal beliau, pada masa yang sama mengikuti pengajian rendah dan menengah. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu ibunya menanam dan menjual sayur-sayuran di pasaran dan juga menjual roti canai. Pengetahuan angka beliau digunakan untuk membantu bapanya dalam melakukan buku simpanan harian.

          Selepas tamat sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu bapanya dalam perniagaan lembu penternakan tetapi hanya untuk melihat perniagaan itu muflis akibat penyakit kaki dan mulut. Walau bagaimanapun, beliau mengambil alih perniagaan dan mula semula dengan menjual daging. Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.

          Beliau yang berpandangan jauh dalam perniagaan mula mengembangkan bakat niaganya kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS. Tan Sri Syed Mokhtar kemudian menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas dan berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.
          Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras. Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus. Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta.
Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan. Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan.
           Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.
          Sekitar tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari menumpukan usaha beliau kepada bidang yang membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia. Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.Kejayaannya dapat dilihat dengan penguasaan sebanyak 90 peratus ke atas Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd pada tahun 1993. Beliau juga telah berjaya mendapat satu projek mega apabila Seaport diberi penyerahan selama 30 tahun untuk membina Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
          Seaport memiliki 60 peratus daripada projek Pelabuhan Tanjung Pelepas dan menjadikan beliau sebagai pemegang saham yang terbesar. Beliau telah mendapat pujian oleh kerajaan kerana kejayaannya mengendalikan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dimana beliau berjaya menguruskan pelabuhan tersebut menjadi satu pelabuhan yang cergas di bahagian Selatan Semenanjung Malaysia. PTP berjaya menarik minat syarikat perkapalan Taiwan Evergreen Marine Corporation seperti yang diumumkan akan memindahkan seluruh operasi kontenanya ke Johor daripada Singapura. Ia merupakan satu projek yang akan memacu rencana kerajaan Malaysia untuk membangunkan negara sebagai hak perkapalan yang termaju di rantau ini.
          Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun. Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi. MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ianya dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor. Secara persendirian, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga memiliki SKS Ventures Sdn. Bhd di mana beliau telah diberi tanggungjawab menjalankan projek membina 2100MW tapak ‘gas-fired‘ di Tanjung Bin, Johor. Beliau juga mempunyai kepentingan di dalam PERNAS di mana Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari memiliki 32% saham melalui syarikat Restu Jerneh.
          Beliau juga turut memiliki kepentingan di dalam Fiamma Holdings Berhad di mana terdapat 18.68% saham diperoleh melalui Syarikat Perdana Padu Sdn Bhd dan Corak Kukuh Sdn Bhd miliknya. Tan Sri Syed Mokhtar juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Bina Puri Holdings Berhad di mana beliau merupakan pemegang saham secara individu sebanyak 7.34 %. Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimiliki beliau membuatnya tidak pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah. Malah, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary mengingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan. Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang diasaskan beliau telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur.
          Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia. Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM775 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah. 

          Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM1 juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya Panglima Setia Mahkota (P.S.M) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri dan Dato’ Setia mahkota Kedah (D.S.D.K) oleh KDYMM Sultan Kedah yang membawa gelaran Dato’.

          Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari merupakan seorang yang tidak pernah mengenal erti kegagalan dan beliau sentiasa belajar dari apa juga kesilapan yang dilakukan. Beliau juga merupakan seorang yang berhati-hati dalam perniagaan terutamanya soal pembelian dan pengambilalihan kepentingan dalam sesebuah syarikat dan projek. Beliau seolah-olah memikirkan kepentingan orang ramai terutamanya bumiputera sebelum membuat apa-apa keputusan penting dalam perniagaan. Beliau memiliki peribadi yang berpandangan jauh dalam kehidupannya  yang wajar dicontohi semua pihak.



KEUPAYAAN BELAJAR DARI KESILAPAN (ABILITY TO LEARN FROM MISTAKES)



Apabila memulakan perniagaan, ia mengambil masa dalam mengimplementasikan ilmu yang sudah dipelajari (MyMetro, 2015). Memang benar kebanyakan perniagaan menemui kegagalan. Dalam tahun pertama perniagaan, pastinya keuntungan tidak banyak dapat dikumpulkan kerana sering mengalami kerugian (MyMetro, 2015). Hal ini kerana tahun pertama perniagaan adalah tahun untuk usahawan terbabit belajar daripada ­pengalamannya sebagai usahawan baru. Masuk tahun kedua pula, tiba masanya untuk usahawan me­ngimplemetasikan apa yang dipelajari daripada tahun pertama (MyMetro, 2015). Segala kesilapan atau masalah yang dihadapi pada tahun pertama adalah pengajaran untuk diperbaiki pada tahun seterusnya. Ketika ini keuntungan mula dapat dilihat dengan lebih baik. Tahun ketiga pula tahun menjana keuntungan selepas mengimplementasikan lebih banyak teknik dan strategi pada tahun kedua (MyMetro, 2015).

Seorang usahawan mengambil bertahun-tahun pe­ngalaman dalam bidang perniagaan untuk berjaya (BH Plus, 2015). Tanpa kesabaran, pastinya pada tahun pertama lagi usahawan sudah mengaku kalah kerana tidak melihat keuntungan yang diimpikan. Sekiranya gagal dalam perniagaan, usahawan perlu berfikir secara positif kerana kegagalan adalah guru terbaik untuk mengajar kita menjadi lebih baik (BH Plus, 2015). Seseorang usahawan yang tidak jemu belajar dari kesilapannya membolehkan beliau untuk memperbaiki perniagaannya menjadi lebih baik dan terbaik (MyMetro, 2015). Sebagai contoh, usahawan yang selalu menemui kegagalan dalam perniagaan yang diceburinya dan berusaha untuk memperbaiki kesilapannya yang lampau sehingga beliau menjadi seorang usahawan yang berjaya ialah Wan Hamidah Wan Hasan, 36 iaitu Ketua Eksekutif EHPS Marketing Marketing PLT merangkap usahawan inovasi makanan sunnah dan produk kecantikan dikenali sebagai SuperRich (BH Plus, 2015).


Siapa sangka suri rumah tangga sepenuh masa, pada suatu ketika dahulu, boleh meraih pendapatan mencecah RM1.2 juta (BH Plus, 2015). Satu angka yang tidak pernah terlintas di fikiran, namun dek kerana sifat tidak pernah kenal erti berputus asa, itulah ganjaran yang diperoleh oleh beliau. Bagaimanapun, bukan suatu perkara mudah untuk menjana pendapatan setinggi itu. Ternyata pelbagai cabaran dan pahit getir termasuk berkali-kali ditipu dalam perniagaan dan dibelit hutang, mengubah tekad di Wan Hamidah untuk keluar daripada kepompong kemiskinan (BH Plus, 2015). Jatuh bangun dalam perniagaan tidak membuatkan Wan Hamidah berputus asa, malah gigih berjuang dalam apa juga jenis bidang perniagaan, asalkan mampu menjana pendapatan.

Beliau menguatkan semangat dan menjalankan perniagaan dengan membekalkan pelbagai jenis produk yang menjadi permintaan pelanggan seperti bahan kimia untuk makmal, cenderahati, peralatan dan sebagainya (BH Plus, 2015). Selepas berkahwin, beliau masih meneruskan perniagaan tersebut memandangkan masih ada permintaan. Kemudian, beliau mendapat peluang perniagaan membekalkan anak kelapa sawit kepada pekebun kecil di Johor (BH Plus, 2015). Malangnya, pembekal menipunya dengan membekalkan anak benih sawit kurang bermutu untuk diberi kepada pekebun kecil (BH Plus, 2015). Akhirnya, pembekal lesap dan beliau bersama suami, Burhanuddin Mohd Salleh, 39, terpaksa membayar balik sejumlah RM100,000 kepada semua pekebun kecil (BH Plus, 2015).

Beliau dan suami, kemudiannya meneruskan usaha lain apabila sebuah syarikat menawarkan perniagaan menjual tiket tambah nilai telefon (BH Plus, 2015). Tawaran itu diterima dan mereka membeli mesin tambah nilai berharga RM40,000. Ketika itu mereka membayar tunai sebanyak RM10,000 dan selebihnya RM33,000 menggunakan kad kredit (BH Plus, 2015). Tidak berapa lama tempoh mesin itu beroperasi, mereka diuji sekali lagi apabila syarikat berkenaan muflis dan dalam masa yang sama, mereka perlu membayar hutang di bank (BH Plus, 2015).


Ketika itu hutang semakin bertambah, apatah lagi mereka tidak mempunyai pekerjaan sehingga membuatkan suaminya terfikir untuk mendapatkan bantuan daripada Along, mujur perkara itu ditegah olehnya (BH Plus, 2015). Di sebalik kekalutan itu, Wan Hamidah tetap memikirkan cara menyelesaikan masalah kewangannya tanpa diketahui oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Beliau terpaksa menggadaikan barang kemas dan memperoleh kira-kira RM1,000 untuk digunakan sebagai modal menjual nasi lemak dan kuih-muih (BH Plus, 2015).

Aliran perniagaan secara dalam talian memberi idea kepada Wan Hamidah untuk menggunakan akaun laman sosialnya, Facebook bagi mempromosi pelbagai produknya kerana perniagaan sebegini boleh menjimatkan kos (BH Plus, 2015). Pada bulan pertama beliau memperoleh keuntungan atas angin kira-kira RM1,000 dan selama setahun berniaga menerusi Facebook, bermacam-macam produk yang dijual contohnya seperti produk kecantikan, kuih raya dan pakaian (BH Plus, 2015). Menyedari jualan menerusi Facebook mempunyai potensi tersendiri, beliau menghadiri seminar Intensif Mentor Kekayaan dan Kejayaan oleh Dr Azizan Osman (BH Plus, 2015). Di situ, beliau mempelajari sesuatu iaitu berniaga.

Dalam perniagaan jualan tertinggi bukan melambangkan kejayaan, sebaliknya keuntungan tertinggi itu yang menunjukkan kita berjaya ataupun tidak (MyMetro, 2015). Sekian lama Wan Hamidah menjual pelbagai produk di Facebook, akhirnya beliau berjaya memiliki 12 produk sendiri iaitu inovasi makanan sunnah dan produk kecantikan dikenali sebagai SuperRich (BH Plus, 2015). Sehingga kini, beliau hanya fokus menjual produknya menerusi Facebook dan mempunyai 800 ejen di seluruh negara (BH Plus, 2015).

SERBA BOLEH (VERSATILITY)



          Berdasarkan ciri keusahawanan serba boleh, kami memilih Dr..Azizan Osman sebagai contoh usahawan berjaya yang memiliki ciri serba boleh. Dr.Azizan Osman merupakan seorang usahawan yang mengusahakan perniagaan dalam pelbagai bidang. Antara contoh jenis perniagaan yang dimilikinya ialah agensi pengiklanan, perkhidmatan perakaunan dan percukaian, syarikat reka cipta grafik dan multimedia serta syarikat pembangunan hartanah (Azizan Osman International).

          Kami memilih Dr.Azizan Osman sebagai tokoh untuk ciri keusahawan serba boleh kerana beliau sangat berbakat dalam pelbagai bidang. Hal ini dapat dilihat apabila beliau menjadi seorang pakar motivasi terkenal disamping mempunyai syarikat milik beliau sendiri dalam pelbagai sektor. Beliau sangat berbakat kerana dapat menceburi pelbagai bidang dalam satu masa. Setakat hari ini beliau telah memiliki beberapa buah syarikat milik beliau sendiri di Malaysia dan Singapura (Azizan Osman International).

          Kisah hidup beliau bukan bermula dari seorang yang kaya raya. Beliau juga berusaha dari bawah. Dr.Azizan Osman pernah memulakan perniagaan pada tahun 1998 tapi gagal namun beliau terus cekal berusaha untuk berjaya (Azizan Osman International). Selepas itu, beliau mendapat tunjuk ajar daripada seorang mentor dari British pada tahun 2001 (Azizan Osman International). Dr Azizan mempunyai pengalaman luas, terlibat di dalam pengurusan portfolio pengiklanan dan pemasaran sejak tahun 2001 untuk beribu buah syarikat kecil & sederhana (IKS) serta organisasi seperti TM, DIGI, Celcom, Maxis, HSBC, Standard Chartered, WWF dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) (Azizan Osman International). Hal ini jelas membuktikan bahawa beliau sangat berbakat dan seorang usahawan yang serba boleh dalam menjalankan perniagaan.





INISIATIF (INITIATIVE)


         
Lahir di Tanjung Piandang, Perak dan dibesarkan di Selangor (Herman, 2014), Dato' Haji Ramly Bin Mokni, merupakan usahawan tanah air yang cukup terkenal dengan produk makanan segeranya iaitu Burger Ramly. Bagi menjadi seorang usahawan yang berjaya, seseorang itu perlu memiliki ciri-ciri tertentu sebagai seorang usahawan dan antara ciri-ciri itu adalah inisiatif. Dato' Ramly Mokni merupakan antara usahawan yang sesuai dijadikan contoh bagi menggambarkan ciri inisiatif tersebut. Inisiatif membawa maksud sikap seseorang yang melakukan sesuatu bukan kerana terpaksa oleh keadaan sekeliling mahupun seseorang (Nor, 2011). Dalam erti lain, inisiatif ini adalah seseorang yang giat berusaha bagi membangunkan kehidupan diri serta giat berfikir idea-idea baru untuk mengembangkan perniagaan mereka. Burger Ramly merupakan produk makanan segera popular tanah air yang kemudiannya menular popularitinya ke Singapura dan menjadi makanan segera popular di kalangan penduduk Singapura pula (Herman, 2014).
          Dulunya beliau hanya bermula sebagai pemotong daging di sebuah pasaraya di ibu kota pada awal 70-an, di mana ketika itu kebanyakan makanan sejuk beku tidak dapat dipastikan status halal haramnya (Herman, 2014). Mengambil peluang yang ada di depan mata, beliau mendapat idea untuk menghasilkan makanan sejuk beku yang halal untuk memenuhi permintaan umat Islam di Malaysia. Beliau seorang yang bijak menggunakan peluang yang ada dan penuh inisiatif walaupun ideanya itu pernah diperlekehkan sesetengah pihak dan juga pihak bank yang tidak yakin dengan kekuatan produk beliau. Namun, sokongan keluarga terutama isterinya yang sentiasa memberikan dorongan kepadanya menjadi pembakar semangat baginya untuk terus berjaya. Berbekalkan dengan simpanan sendiri dan juga bantuan pinjaman yang diberikan oleh Bank Pembangunan dan Malaysia Berhad telah membolehkannya mengorak langkah untuk memajukan perniagaannya (usahawan.com).      
            Walaupun dihimpit pelbagai cabaran dan halangan, namun, berbekalkan keyakinan yang tinggi, beliau telah dapat mengembangkan perniagaannya daripada hanya mengeluarkan daging burger sebanyak 300 keping sehari kepada 30 tan daging sehari selepas 20 tahun dalam dunia perniagaan (usahawan.com). Antara produk di bawah jenama Ramly adalah daging burger ayam dan daging, rangkaian produk nugget, jejari, sosej dan banyak lagi (Herman, 2014). Bagi memastikan kualiti produknya sentiasa berada di tahap terbaik bagi memenuhi citarasa pelanggannya, Makmal Mikrobiologi Ramly telah ditubuhkan. Tujuan penubuhan makmal ini adalah untuk memastikan produknya adalah suci dan selamat untuk dimakan pengguna. Proses bermula dari pemilihan bahan mentah sehinggalah produk siap dihasilkan. Selain itu, makmal yang lengkap dengan peralatan berteknologi tinggi ini juga berfungsi sebagai satu tempat penyelidikan dan pembangunan produk Ramly (usahawan.com).
          Bermula dengan pengeluaran secara manual dan kecil-kecilan, Haji Ramly kini telah berjaya mengembangkan perniagaannya ke tahap komersial. Syarikat induknya iaitu Ramly Mokni Holding Berhad dan anak-anak syarikatnya iaitu Ramly Food Processing Sdn. Bhd., Pemasaran Ramly Mokni Sdn. Bhd., Ramly Supermart Sdn. Bhd. dan Ramly Mokni Bakeri Sdn. Bhd (usahawan.com).  Syarikat telah diberikan pengiktirafan sebanyak tiga kali oleh Bank Pembangunan atas kecemerlangan dan prestasi baik yang sentiasa ditunjukkan oleh mereka. Pada tahun 2008 pula, Ramly Food Processing Sdn. Bhd. telah mengambil satu keputusan besar dengan membuat pelaburan menjangkau RM15 juta bagi pembesaran kilang di Taman Perindustrian IKS, Batu Caves, Kuala Lumpur (usahawan.com). Melalui pembesaran kilang ini yang disertakan juga dengan penggunaan teknologi yang lebih baik, dilihat dapat meningkatkan hasil pengeluaran sehingga tiga kali ganda dengan kualiti yang sama standardnya (usahawan.com).
            Antara isu besar yang dihadapi Haji Ramly adalah isu DNA babi di dalam produk Ramly Burger yang heboh diperkatakan suatu ketika dahulu (usahawan.com). Hal ini terjadi berikutan sebuah blog yang memaparkan salinan surat dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah yang mendakwa  jabatan berkenaan bagi Daerah Yan telah menemui DNA babi hasil kajian terhadap satu sampel produk Ramly Burger di sana. Namun perkara ini telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Haji Ramly yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ramly (usahawan.com). Dalam surat terbuka bertarikh 1 Disember 2011, beliau mendakwa bahawa isu ini adalah satu fitnah untuk mensabotaj syarikatnya yang 100% dimiliki oleh keluarga beliau yang beragama  Islam dengan hampir 1,000 kakitangan yang kesemuanya juga beragama Islam (usahawan.com). Beliau menambah, syarikatnya amat menitik beratkan soal halal haram dan mempunyai jawatankuasa halal untuk memastikan status halal  produk sebelum dikeluarkan di pasaran (usahawan.com).
          Selain isu DNA babi, syarikatnya juga menghadapi isu dituduh bertukar tangan dengan syarikat bukan bumiputera (Herman, 2014). Namun, perkara itu telah dinafikan oleh Pengurus Kanan Pemasaran Ramly Mokni Sdn. Bhd., Siti Hayu Ramly. Siti Hayu yang juga anak kepada Haji Ramly menyatakan bahawa pegangan syarikat itu tidak pernah dijual kepada mana-mana pihak dan masih kekal di tangan pengasasnya iaitu Haji Ramly bin Mokni (Herman, 2014). Walau bagaimanapun, khabar-khabar angin yang hangat diperkatakan itu langsung tidak menjejaskan perniagaan Kumpulan Ramly malah permintaan terhadap produknya terus meningkat tahun demi tahun (usahawan.com).