Friday 24 April 2015

DATO' JIMMY CHOO


       

   Nama sebenar Datuk Jimmy Choo adalah Jimmy Chow. Syarikat pendaftaran telah tersalah mengeja nama beliau menjadi Jimmy Choo pada sijil kelahiran. Namun hikmah besar daripada kesilapan itu adalah sehingga kini, nama Jimmy Choo dikenali di serata dunia oleh pelbagai peringkat masyarakata terutama golongan bangsawan dan selebriti (UsahawanWibawa, 2013). Jimmy Choo dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1961dan dibesarkan di Lebuh Hutton, Georgetown, Pulau Pinang. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang kecil di mana ayahnya merupakan pengusaha dalam perniagaan membuat kasut. Jadi, tidak perlu dipersoalkan lagi dari mana Dato Jimmy Choo mendapat pendidikan dan pendedahan awal mengenai ilmu reka cipta kasut (UsahawanWibawa, 2013).

          Beliau bersekolah di Sekolah Rendah Shih Chung dan telah menamatkan pelajaran pada tahun enam. Dato Jimmy Choo sering membantu ayahnya dalam mengendalikan perusahaan membuat kasut. Beliau berjaya menghasilkan kasut pertama pada usia beliau 11 tahun (UsahawanBerjaya, 2014). Setelah menamatkan pembelajaran di peringkat sekolah, beliau melanjutkan pelajarannya di London dalam bidang pembuatan kasut dan fesyen. Disebabkan oleh sikap tanggungjawabnya, Datuk Jimmy Choo telah melakukan kerja separuh masa sebagai tukang cuci di sebuah restoran di London dan bekerja di kilang bagi menampung pelajarannya di sana (UsahawanBerjaya, 2014).

          Semangat juang yang tinggi dalam diri Datuk Jimmy Choo telah menjadi pembakar semangat untuk beliau menjalankan perniagaan beliau dengan menjadi usahawan untuk membuka kedai kasut sendiri (UsahawanBerjaya, 2014). Hal ini kerana, disebabkan oleh kepakaran dan pengalaman yang beliau perolehi telah menyebabkan beliau mempunyai alasan yang kukuh untuk membuka kedai kasut beliau sendiri dengan memperkenalkan rekaan dan produk yang menarik kepada para pelanggan (UsahawanBerjaya, 2014). Setelah Datuk Jimmy Choo berjaya menamatkan pengajiannya di London, beliau telah mencuba membuka kedai kasutnya dengan hanya menyewa sebuah bangunan bekas hospital yang ditinggalkan sebagai lokasi untuk menjalankan perniagaan beliau.

          Disebabkan semangat beliau itulah beliau telah mencuba berniaga walaupun terdapat banyak risiko yang bakal dihadapi (UsahawanWibawa, 2013). Selama 4 tahun Datuk Jimmy Choo mengharungi keadaan yang mengecewakan dimana jualan kasutnya tidak memberangsangkan. Ini juga telah menjadi cabaran kepada beliau. Hal ini kerana menjual kasut di London sangat susah kerana ia adalah sebuah tempat yang sangat popular dan beliau bukanlah orang yang terkenal. Setelah bertungkus lumus, akhirnya rekaan beliau mendapat liputan di Majalah Vogue iaitu sebuah majalah fesyen yang terkenal di UK (UsahawanWibawa, 2013). Melalui majalah tersebut, nama beliau mula dikenali oleh orang ramai namun begitu beliau tetap kecewa kerana jualan kasutnya tetap merosot.

          Empat tahun berlalu apabila mendiang Puteri Diana berkenan dengan rekaan Datuk Jimmy Choo lalu telah membelinya sekitar tahun 1990. Semenjak daripada hari itu, Puteri Diana terus tertarik dengan rekaan Jimmy Choo dan disebabkan oleh itu nama beliau terus melonjak naik di persada antarabangsa (UsahawanWibawa, 2013). Beliau juga dapat memperkenalkan produknya kepada semua orang dengan lebih yakin. Selain itu, prestasi perniagaan beliau juga semakin meningkat dan telah dapat memasuki pasaran dengan lebih baik. Datuk Jimmy Choo terkenal dengan kasut serta beg tangan yang mahal yang dapat memenuhi citarasa pelanggan di persada antarabangsa (UsahawanWibawa, 2013).

          Oleh kerana sifatnya yang sentiasa bermotivasi dan berfikiran terbuka, ini telah menyebabkan beliau berjaya sehingga sekarang dalam menjalani kehidupannya. Disebabkan itu juga beliau telah berjaya dalam mengusahakan perniagaan beliau. Walaupun beliau mengecapi kejayaan dan menikmati hidup yang mewah di London, namun hati beliau tetap di Malaysia (UsahawanBerjaya, 2014). Ini dapat dilihat ketika beliau berucap di majlis-majlis umum di mana beliau sentiasa bercerita tentang Malaysia dengan penuh semangat. Malaysia masih menjadi pilihan utamanya sebagai tempat percutian. Antara sebab-sebab beliau memilih Malaysia adalah kerana keramahan masyarakat Malaysia sendiri dan juga pantai-pantai di Pulau Langkawi yang cantik dan tidak tercemar serta alam sekitarnya yang tenang. Beliau juga pasti tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah tempatan setiap kali beliau pulang ke tempat asalnya di Pulau Pinang (UsahawanBerjaya, 2014).

          Beliau boleh dianggap sebagai duta Malaysia atas kejayaannya memperkenalkan nama Malaysia di dunia fesyen serta sentimen patriotik yang sentiasa diluahkan nya ketika berucap tentang negaranya (UsahawanBerjaya, 2014). Secara berjenaka beliau pernah berkata, ingin dikenang sebagai seorang dewa kasut seperti Wah Toi, seorang dewa kasut dalam masyarakat Cina yang dipuja oleh Persatuan Pembuat Kasut Cina dari bahagian timur dunia (UsahawanBerjaya, 2014). Pada hakikatnya, beliau sudah dianggap sebagai seorang dewa kasut memandangkan kasut rekaannya menjadi kegemaran pencinta-pencinta fesyen dan diiktiraf oleh dunia fesyen sejagat (UsahawanBerjaya, 2014).
          Pada tahun 2011, bersama-sama duta makanan Malaysia, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan telah dianugerahkan Anugerah Khas Kementerian Pelancongan kerana mempromosikan Malaysia di luar negara (UsahawanWibawa, 2013). Kedua-duanya menerima trofi daripada Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen di Anugerah Pelancongan Malaysia 2010 dan 2011 yang disaksikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun. Beliau kini terlibat dalam projek untuk menubuhkan sebuah institut pembuatan kasut di Malaysia, di mana status ikonik beliau sering membangkitkan inspirasi kepada pembuat kasut tunas dan pereka fesyen (UsahawanBerjaya, 2014).
          Setelah berjaya menerpa nama di persada antarabangsa, Datuk Jimmy Choo telah menjalankan strategi perniagaan beliau dengan lebih berkesan agar dapat memperkenalkan produk beliau ke seluruh negara. Oleh itu, beliau telah berjaya membuka syarikat iaitu Jimmy Choo Ltd. Sebagai pengurus atasan, Datuk Jimmy Choo bertanggungjawab dalam membuat keputusan mengenai arah tuju syarikat beliau. Peranan Jimmy Choo dalam stail pengurusan syarikatnya boleh ditafsirkan mengikut Mintzberg iaitu dibahagikan kepada tiga kategori.

          Pertama, dalam hubungan interpersonal iaitu sebagai ketua, pemimpin dan orang yang berhubung dengan pihak luar (usahawan.com). Sebagai ketua, Datuk Jimmy Choo perlu melaksanakan tugas yang simbolik iaitu tugas-tugas yang bersifat sosial dan melayan pelanggan. Contohnya, Jimmy Choo melayan permintaan Puteri Diana secara peribadi untuk mendapat rekaan kasut yang terbaik mengikut cita rasa Puteri Diana. Oleh itu jugalah Jimmy Choo merupakan pereka kasut yang diminati oleh Puteri Diana semasa hayatnya di atas stail pengurusan Jimmy Choo yang berorientasikan pelanggan.

          Kedua, Jimmy Choo juga bertindak sebagai pemberi maklumat iaitu memantau dalam syarikatnya, sebagai penyebar dan jurucakap (usahawan.com). Sebagai penyebar, beliau perlu mengeluarkan memo mengenai keluaran-keluaran baru butiknya, membuat promosi, menawarkan diskaun, memberi perkhidmatan yang istimewa dan sebagainya bagi menarik minat pelanggan. Manakala sebagai jurucakap pula, Jimmy Choo perlu mengeluarkan kenyataan di media-media sama ada media massa, media cetak mahu pun media elektronik mengenai barang keluarannya (usahawan.com).
          Jika terdapat sebarang pertikaian mengenai barangannya juga, beliau perlu mengadakan media konferensi untuk menyelesaikan konflik tersebut (usahawan.com). Sebagai contoh, Datuk Jimmy Choo mendapat anugerah OBE iaitu “Order of the British Empire” daripada Permaisuri England, Queen Elizabeth II. Dalam sebuah temu ramah, Datuk Jimmy menceritakan dia membaca perutusan daripada Queen Elizabeth untuk menerima anugerah tersebut sambil tangannya terketar ketar. Namun, hasil kesungguhan beliau yang selama ini menubuhkan syarikatnya membuat beliau berkeyakinan untuk menerima anugerah tersebut (usahawan.com).
          Ketiga, Jimmy Choo merupakan pembuat keputusan di dalam butik atau syarikatnya (usahawan.com). Beliau adalah usahawan iaitu beliau perlu memikirkan apa yang terbaik untuk syarikatnya, bagaimana untuk mendapatkan pelanggan yang ramai dan cara untuk menjaga kualiti barangan rekaannya. Beliau juga bertindak sebagai penyelesai gangguan dalam syarikat. Contohnya, jika ekonomi merosot beliau perlu memikirkan cara-cara untuk mengatasinya. Sebagai pembuat keputusan, beliau turut mengambil peranan sebagai perunding. Beliau perlu berunding dengan pihak-pihak luar mengenai cita rasa mereka untuk menghasilkan rekaan yang terbaik. Beliau juga akan memberi pendapat beliau kepada pelanggannya mengenai kasut yang sesuai dengan pelanggan tersebut (usahawan.com). Peranan Jimmy Choo sebagai perunding amat penting kepada pelanggannya untuk mereka membuat keputusan.
          Dalam membangunkan perniagaannya, beliau sangat menitikberatkan tugas-tugas yang bersifat sosial dan melayan pelanggan. Ini kerana dengan adanya tindakan seperti itu dapat membina hubungan yang berorientasikan pelanggan. Sikap beliau yang sangat mementingkan kualiti juga ini telah menyebabkan beliau berjaya dalam mengusahakan syarikatnya. Ini kerana setiap produk yang dikeluarkan adalah sangat berkualiti tinggi selari dengan harga yang ditetapkan (usahawan.com). Berbekalkan nama yang terkenal serta kenalan dari golongan atasan, mudah bagi Datuk Jimmy Choo untuk menggunakan media sebagai saluran utama beliau menyebarkan maklumat mengenai promosi mahupun rekaan terbaru syarikat beliau (usahawan.com).

          Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, kerja kuat serta semangat juang yang tinggi perlulah diterapkan dalan diri agar kita sentiasa bersedia serta dapat mengharungi segala cabaran yang menimpa (usahawan.com). Selain itu juga, janganlah menganggap diri kita terbaik kerana ramai lagi diluar sana adalah yang terbaik. Oleh itu kita perluah sentiasa bersederhana dan merendah diri agar kita dapat memotivasikan diri untuk lebih berjaya dan tidak lupa diri di kemudian hari. Kita juga haruslah sentiasa berfikiran terbuka. Disamping itu, keluarga juga sangat penting dalam sesuatu kejayaan (usahawan.com). Oleh itu, peliharalah kesejahteraan keluarga agar dapat mengecapi kebahagiaan yang direstui.


          Pelbagai cabaran yang dilalui oleh Datuk Jimmy, namun berkat kesungguhan beliau dalam mengharungi pelbagai rintangan dalam mengejar cita-citanya menyebabkan jenama Jimmy Choo terus gah sehingga sekarang. Terlalu banyak cabaran yang dilalui walaupun amat susah, namun Jimmy Choo mempunyai semangat yang sangat kuat untuk mengharunginya. Oleh itu, setiap cabaran merupakan sebuah langkah permulaan kepada kejayaan (usahawan.com).

No comments:

Post a Comment