Friday 24 April 2015

INTEGRITI & KEBOLEHPERCAYAAN (INTEGRITY & RELIABILITY)



          Integriti sebenarnya berasal dari istilah bahasa Inggeris yang membawa erti keutuhan dari semua segi yang baik. Dalam Bahasa Melayu, ia biasanya menjurus kearah perwatakan seseorang. Maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa DBP, 1985, ialah kejujuran dan ketulusan, kesempurnaan, keutuhan.

          Dari maksud yang didapati dari Kamus di atas, integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan boleh pegang cakapnya (Wikipedia). Integriti boleh dibincangkan kepada dua bahagian iaitu integrity berdasarkan individu dan integrit berdasarkan organisasi. Namun begitu, integrity pada umumnya merujuk kepada himpunan kualiti yang berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan yang bermoral tinggi.

          Di peringkat individu, integrity bermaksud keselarasan antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang, serta keselarasan di antara kepentingan diri dan kepentingan umum. Manakala di peringkat organisasi, integrity dilihat melalui cerminan dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika. Piagam pelanggan atau system dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi.

        Maka, saya mengambil tokoh agung iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan rasul terakhir bagi umat islam sebagai contoh dalam elemen integrity. Baginda digelar “al-amin’ yang bermaksud benar telah diberikan oleh penduduk Mekah semenjak kecil kerana baginda tidak pernah berbohong sepanjang hidupnya serta baginda memiliki sifat kesempurnaan, kelelakian dan amanah yang tinggi di jiwanya. Biodata ringkas mengenai Nabi Muhammad ialah baginda dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah. Dilahirkan sebagai yatim kerana bapanya meninggal dunia ketika baginda masih dalam kandungan ibunya. Bapanya, Abdullah merupakan seorang perniaga sebelum hayatnya berakhir. Setelah beberapa tahun, ibunya menyusul bapanya, Abdullah meninggalkan dunia, maka tinggalkanlah baginda bersama datuknya, Abdul Mutalib. Setelah itu, baginda tinggal bersama bapa saudaranya, Abu Talib setelah kematiannya datuknya. Pada ketika tinggal bersama bapa saudaranya, Nabi Muhammad diajar menternak kambing bagi meringankan beban bapa saudaranya selain menjadikan baginda seorang yang sabar. Pekerjaan Muhammad sebagai seorang pengembala kambing pada zaman mudanya memberi kesempatan dan peluang untuk baginda berfikirdan mengamati jalan kebenaran. Baginda mengembala kambing bapa saudaranya dan kambing penduduk Makkah. Nabi dengan gembiranya mengingati peristiwa tersebut dan bersabda :

          " Allah tidak membangkitkan seorang nabi kecuali sebagai pengembala "

          Pada ketika baginda berumur 12 tahun, Nabi Muhammad mengikuti bapa saudaranya ke Syam, sebuah negara yang terletak di Semenanjung tanah arab untuk berniaga. Pada awalnya, Abu Talib tidak mengizinkan baginda untuk menyertainya berniaga ke negeri Syam kerana dia merasa Muhammad terlalu muda untuk menempuh kesukaran mengharungi padang pasir yang luas tetapi setelah  baginda memujuk bapa saudaranya, baginda diizinkan untuk menemani bapa saudaranya ke Syam. Pada umur Nabi Muhammad 20 tahun, Abu Talib memikirkan bahawa Muhammad perlu mencari pekerjaan bagi menambah pendapatan dirinya daripada apa yang diperoleh ketika menjadi pengembala. Maka, baginda telah diberi kepercayaan untuk membawa barang dagangan Saidatina khadijah yang merupakan hartawan Mekah pada ketika itu. Baginda seorang yang jujur dalam melaksanakan tugas dan ramah dalam melaksanakan muamalah. Dengan sikap amanah dan keupayaannya dalam menjalankan perniagaan, Muhammad telah menerima keuntungan melebihi keuntungan pekerja lain yang pernah bekerja dengan saidatina khadijah. Maysarah juga memuji tingkah laku dan perihal Muhammad sepanjang bersamanya kerana Muhammad seorang yang lembut dan sopan dalam tingkahlakunya. Setelah sampai masa pulang ke Mekah, baginda membeli barang-barang keluaran negeri Syam yang dipesan oleh Saidatina Khadijah.

          Ali ibn Abi Talib (sahabat Nabi Muhammad)  memperincikan tetang ketrampilan Rasulullah sebagai:

‘Dia tidak kasar dan tidak suka perangai yang kasar dan dia tidak pernah menjerit di pasar. Dia tidak membalas kejahatan dengan kejahatan sebaliknya memaafkan dan melupakannya. Dia tidak pernah memukul apa-apa dengan tangannya kecuali ketika berperang. Dia tidak pernah memukul orang suruhan atau wanita, dan aku tidak pernah melihatnya membalas dendam ke atas ketidak adilan ke atasnya melainkan jika larangan Allah dilanggar. Jika larangan dilanggar, dia adalah antara yang paling marah. Dia tidak pernah memberikan pilihan antara dua perkara sebaliknya memilih yang lebih mudah. Jika berada di rumah, dia seperti lelaki lain; membasuh pakaiannya, memerah susu kambingnya dan melayan dirinya. Dia menjaga lidah daripada perkara yang tidak berkaitan dengan dirinya. Dia menerima (kedatangan) orang ramai dan tidak menolaknya. Dia memuliakan golongan mulia dan memberikan mereka kuasa urusan mereka. Dia berhati-hati dengan mereka, pada masa yang sama sentiasa senyum serta berkelakuan seperti sepatutnya. Dia bertanya khabar tentang sahabat dan orang ramai. Dia menggalakkan perkara yang baik; dan tidak menyokong atau menghalang perkara yang buruk. Dia seimbang dan konsisten. Dia tidak pernah mengabaikan sesuatu sehingga mereka (orang ramai) mengabaikannya. Dia sentiasa bersedia untuk semua keadaan dan sangat adil. Mereka yang bijaksana adalah yang rapat dengannya. Yang paling dipandang tinggi olehnya di kalangan mereka adalah yang paling mengambil berat hal orang lain dan membantu mereka. Dia tidak duduk dan berdiri tanpa memuji Tuhan. Jika dia masuk ke majlis, dia akan duduk di hujung (bukan di depan) dan menggalakkan orang lain berbuat demikian. Jika seseorang datang berjumpanya atau meminta pertolongannya, dia akan bersabar sehingga mereka (tetamu) yang pergi dahulu. Mereka yang meminta daripadanya tidak pernah dihampakan melainkan dia memberi apa yang diminta atau diucapkan kata-kata yang baik. Keceriaannya dan budi bahasanya menawan mereka sehingga dia bagaikan bapa mereka dan mereka mempunyai hak yang sama sepertinya. Mereka di sekelilingnya adalah orang yang berilmu, rendah diri, sabar dan jujur…’

          Beberapa orang sahabat Nabi Muhammad memberikan gambaran yang positif terhadap peribadi baginda. Pandangan sahabat lain berkaitan nilai integriti Rasulullah boleh dirumuskan dengan beberapa kuotasi berikut, umpamanya Hind ibn Halla menggambarkan keperibadian Rasulullah sebagai:

‘Rasulullah seorang yang selalu berfikir dan banyak berdiam diri. Dia tidak bercakap tanpa sebab. Beliau bercakap dengan mulut penuh (tidak sombong) dan bercakap dengan tuntas. Pertuturannya berpatutan; tidak lebih dan tidak kurang. Dia tidak angkuh atau merendahkan orang lain. Dia memuji orang walaupun dalam hal kecil dan tidak pernah mengeji orang. Dia tidak pernah mencela makanan. Dia tidak pernah marah kerana perkara-perkara kehidupan atau yang berkaitannya. Tetapi jika keadilan dicabuli, tiada yang dapat menahan marahnya sehinggalah keadilan ditegakkan. Dia tidak pernah marah kerana hal berkaitan dirinya atau membalas dendam untuk dirinya. Jika dia memberi isyarat, dia menggunakan seluruh tapak tangannya. Jika dia merasa hairan, dia membalikkannya. Jika dia marah, dia berpaling dan bila gembira dia menundukkan pandangannya. Ketawanya sekadar senyuman.’


          Kesimpulannya, elemen integrity dan kebolehpercayaan merupakan elemen penting dalam pembentukan ciri-ciri usahawan yang berjaya kerana ia merupakan satu tuntutan dalam bermuamalah. Elemen  tersebut harus diaplikasikan oleh setiap bakal usahawan bagi melahirkan usahawan yang berjaya di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment