Friday 24 April 2015

KEUPAYAAN BELAJAR DARI KESILAPAN (ABILITY TO LEARN FROM MISTAKES)



Apabila memulakan perniagaan, ia mengambil masa dalam mengimplementasikan ilmu yang sudah dipelajari (MyMetro, 2015). Memang benar kebanyakan perniagaan menemui kegagalan. Dalam tahun pertama perniagaan, pastinya keuntungan tidak banyak dapat dikumpulkan kerana sering mengalami kerugian (MyMetro, 2015). Hal ini kerana tahun pertama perniagaan adalah tahun untuk usahawan terbabit belajar daripada ­pengalamannya sebagai usahawan baru. Masuk tahun kedua pula, tiba masanya untuk usahawan me­ngimplemetasikan apa yang dipelajari daripada tahun pertama (MyMetro, 2015). Segala kesilapan atau masalah yang dihadapi pada tahun pertama adalah pengajaran untuk diperbaiki pada tahun seterusnya. Ketika ini keuntungan mula dapat dilihat dengan lebih baik. Tahun ketiga pula tahun menjana keuntungan selepas mengimplementasikan lebih banyak teknik dan strategi pada tahun kedua (MyMetro, 2015).

Seorang usahawan mengambil bertahun-tahun pe­ngalaman dalam bidang perniagaan untuk berjaya (BH Plus, 2015). Tanpa kesabaran, pastinya pada tahun pertama lagi usahawan sudah mengaku kalah kerana tidak melihat keuntungan yang diimpikan. Sekiranya gagal dalam perniagaan, usahawan perlu berfikir secara positif kerana kegagalan adalah guru terbaik untuk mengajar kita menjadi lebih baik (BH Plus, 2015). Seseorang usahawan yang tidak jemu belajar dari kesilapannya membolehkan beliau untuk memperbaiki perniagaannya menjadi lebih baik dan terbaik (MyMetro, 2015). Sebagai contoh, usahawan yang selalu menemui kegagalan dalam perniagaan yang diceburinya dan berusaha untuk memperbaiki kesilapannya yang lampau sehingga beliau menjadi seorang usahawan yang berjaya ialah Wan Hamidah Wan Hasan, 36 iaitu Ketua Eksekutif EHPS Marketing Marketing PLT merangkap usahawan inovasi makanan sunnah dan produk kecantikan dikenali sebagai SuperRich (BH Plus, 2015).


Siapa sangka suri rumah tangga sepenuh masa, pada suatu ketika dahulu, boleh meraih pendapatan mencecah RM1.2 juta (BH Plus, 2015). Satu angka yang tidak pernah terlintas di fikiran, namun dek kerana sifat tidak pernah kenal erti berputus asa, itulah ganjaran yang diperoleh oleh beliau. Bagaimanapun, bukan suatu perkara mudah untuk menjana pendapatan setinggi itu. Ternyata pelbagai cabaran dan pahit getir termasuk berkali-kali ditipu dalam perniagaan dan dibelit hutang, mengubah tekad di Wan Hamidah untuk keluar daripada kepompong kemiskinan (BH Plus, 2015). Jatuh bangun dalam perniagaan tidak membuatkan Wan Hamidah berputus asa, malah gigih berjuang dalam apa juga jenis bidang perniagaan, asalkan mampu menjana pendapatan.

Beliau menguatkan semangat dan menjalankan perniagaan dengan membekalkan pelbagai jenis produk yang menjadi permintaan pelanggan seperti bahan kimia untuk makmal, cenderahati, peralatan dan sebagainya (BH Plus, 2015). Selepas berkahwin, beliau masih meneruskan perniagaan tersebut memandangkan masih ada permintaan. Kemudian, beliau mendapat peluang perniagaan membekalkan anak kelapa sawit kepada pekebun kecil di Johor (BH Plus, 2015). Malangnya, pembekal menipunya dengan membekalkan anak benih sawit kurang bermutu untuk diberi kepada pekebun kecil (BH Plus, 2015). Akhirnya, pembekal lesap dan beliau bersama suami, Burhanuddin Mohd Salleh, 39, terpaksa membayar balik sejumlah RM100,000 kepada semua pekebun kecil (BH Plus, 2015).

Beliau dan suami, kemudiannya meneruskan usaha lain apabila sebuah syarikat menawarkan perniagaan menjual tiket tambah nilai telefon (BH Plus, 2015). Tawaran itu diterima dan mereka membeli mesin tambah nilai berharga RM40,000. Ketika itu mereka membayar tunai sebanyak RM10,000 dan selebihnya RM33,000 menggunakan kad kredit (BH Plus, 2015). Tidak berapa lama tempoh mesin itu beroperasi, mereka diuji sekali lagi apabila syarikat berkenaan muflis dan dalam masa yang sama, mereka perlu membayar hutang di bank (BH Plus, 2015).


Ketika itu hutang semakin bertambah, apatah lagi mereka tidak mempunyai pekerjaan sehingga membuatkan suaminya terfikir untuk mendapatkan bantuan daripada Along, mujur perkara itu ditegah olehnya (BH Plus, 2015). Di sebalik kekalutan itu, Wan Hamidah tetap memikirkan cara menyelesaikan masalah kewangannya tanpa diketahui oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Beliau terpaksa menggadaikan barang kemas dan memperoleh kira-kira RM1,000 untuk digunakan sebagai modal menjual nasi lemak dan kuih-muih (BH Plus, 2015).

Aliran perniagaan secara dalam talian memberi idea kepada Wan Hamidah untuk menggunakan akaun laman sosialnya, Facebook bagi mempromosi pelbagai produknya kerana perniagaan sebegini boleh menjimatkan kos (BH Plus, 2015). Pada bulan pertama beliau memperoleh keuntungan atas angin kira-kira RM1,000 dan selama setahun berniaga menerusi Facebook, bermacam-macam produk yang dijual contohnya seperti produk kecantikan, kuih raya dan pakaian (BH Plus, 2015). Menyedari jualan menerusi Facebook mempunyai potensi tersendiri, beliau menghadiri seminar Intensif Mentor Kekayaan dan Kejayaan oleh Dr Azizan Osman (BH Plus, 2015). Di situ, beliau mempelajari sesuatu iaitu berniaga.

Dalam perniagaan jualan tertinggi bukan melambangkan kejayaan, sebaliknya keuntungan tertinggi itu yang menunjukkan kita berjaya ataupun tidak (MyMetro, 2015). Sekian lama Wan Hamidah menjual pelbagai produk di Facebook, akhirnya beliau berjaya memiliki 12 produk sendiri iaitu inovasi makanan sunnah dan produk kecantikan dikenali sebagai SuperRich (BH Plus, 2015). Sehingga kini, beliau hanya fokus menjual produknya menerusi Facebook dan mempunyai 800 ejen di seluruh negara (BH Plus, 2015).

No comments:

Post a Comment