Friday 24 April 2015

TEGAS (DECISIVE)



Elemen yang ingin dihuraikan adalah nilai tegas. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, tegas bermaksud jelas serta terang dan tidak ragu-ragu atau samar-samar. Bertepatan dan bersesuaian dengan pemilihan tokoh iaitu tokoh di sirah Nabi Muhammad SAW iaitu Abdul Rahman bin Auf.

Abdul Rahman bin Auf bin Abdul Auf bin Abd Haris atau lebih dikenali dengan nama panggilan beliau iaitu Abu Muhammad (Zakaria, 2011). Sebelum beliau memeluk agama islam melalui dakwah Abu Bakar As-Siddiq, nama sebenar beliau ialah Abdul Kaabah. Abdul Rahman dilahirkan pada 44 tahun sebelum hijrah (580 Masihi) di Mekah dan wafat pada 32 Hijrah (654 Masihi), ketika berusia 74 tahun (Harakah Daily, 2014). Beliau adalah dari keturunan bangsa Bani Zuhrah, Arab dan merupakan seorang yang sangat beruntung kerana menerima pendidikan secara langsung daripada Nabi Muhammad SAW di rumah Al-Arqam (Zakaria, 2011).

Abdul Rahman mempelajari kemahiran berniaga secara langsung daripada keluarga dan kaumnya yang sudah sebati dalam bidang perniagaan (Zakaria, 2011). Faktor itu juga membantu beliau dalam memiliki ramai kenalan daripada golongan usahawan perniagaan seperti Abu Bakar As-Siddiq yang juga membantu beliau dalam mengenali dan akhirnya memeluk agama suci Islam (Harakah Daily, 2014). Beliau pernah menjadi usahawan dengan menjalankan aktiviti-aktiviti perdagangan, jualan borong dan import eksport. Selain itu, beliau juga pernah mengetuai tentera Islam dalam perjalanan dakwah ke Jumatul Jandal, kawasan yang didiami oleh orang Nasrani (Harakah Daily, 2014). Misi dakwah beliau berjaya mengajak kaum Nasrani memeluk agama Islam. Kejayaan Abdul Rahman dalam bidang perniagaan dan keusahawanan menjadikan beliau berada di tahap salah seorang jutawan Madinah (Harakah Daily, 2014).

Jujur dan amanah ketika berniaga, bertakwa dan ikhlas dalam bekerja, berani, adil dan berintegriti, merupakan sifat-sifat peribadi Abdul Rahman bin Auf yang mendorong beliau menjadi seorang jutawan perniagaan yang berjaya dengan berlandaskan ilmu dan ajaran ilmu perniagaan di dalam Islam.

Disebabkan kejayaan beliau dalam bidang usahawan, sumbangan beliau terhadap Islam pada suatu ketika itu adalah amat besar. Seperti yang diriwayatkan oleh Al-Zahabi, Abdul Rahman pernah bersedekah separuh daripada hartanya iaitu sebanyak 4000 dinar di zaman Rasulullah saw sehingga orang-orang Munafiqin menuduhnya sebagai tersangat riak (Zakaria, 2011). Namun, Rasulullah dan Allah SWT lebih mengetahui niat sebenar beliau pada ketika itu dan sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Menurut Al-Zuhri pula, Abdul Rahman bin Auf juga pernah menanggung 500 ekor kuda untuk jihad di jalan Allah seterusnya 500 ekor unta barangan untuk tujuan yang sama (Zakaria, 2011). Abdul Rahman bin Auf juga pernah suatu hari menjual sebidang tanah miliknya dengan harga 40,000 dinar lalu diagihkan kepada ahli keluarganya daripada keturunan Bani Zahrah, isteri-isteri Nabi Muhammad SAW dan juga orang-orang fakir di kalangan muslimin. Sebelum kewafatan beliau, Abdul Rahman telah mewasiatkan agar hartanya diagihkan 50,000 dinar (RM31.6 juta) di jalan Allah (Harakah Daily, 2014).

          Walaupun, beliau dikatakan sangat kaya pada ketika itu, tetapi beliau bersikap tegas dengan diri beliau sendiri iaitu ketika bermuamalah, beliau tidak menggunakan amalan riba dan amalan-amalan lain yang tidak dibenarkan syarak. Strategi pertama yang digunakan oleh Abdul Rahman Bin Auf di dalam perniagaan beliau adalah dengan menjual unta pada harga kos, bermakna beliau langsung tiada untung. Apabila ditanya tentang strategi yang dikata ramai adalah merugikan ini, beliau dengan bijak mengatakan bahawa, “Keuntungan tidak diambil dari hasil penjualan unta. Unta dijual pada harga kos. Tetapi, keuntungan diambil dari menjual “tali pengikat unta” (Zakaria, 2011). Dari situlah datangnya keuntungan beliau berniaga. Tali-tali yang dijual adalah cantik dan bermacam-macam warna. Jarang orang lain yang berniaga unta dapat menandingi kelebihan beliau berniaga. Hasilnya, semua yang ingin membeli unta akan pergi ke Abdul Rahman bin Auf.

          Ramai peniaga-peniaga terutamanya kedai-kedai borong yang menjual pada harga rendah bagi barangan yang biasa dibeli pengguna, namun secara tersembunyi menaikkan harga bagi sesetengah barangan mereka. Pembeli yang sudah terbiasa membeli barangan itu pasti tidak akan sedar bahawa sesetengah barangan mahal harganya daripada biasa, namun tetap berbelanja dengan alasan malas untuk pergi ke kedai lain (Harakah Daily, 2014). Strategi seperti Abdul Rahman bin Auf ini jarang sekali dilakukan oleh para peniaga. Tidak ramai yang berani mengambil risiko ini kerana jika tersilap langkah akan mengakibatkan kerugian besar. Oleh itu, dapat kita lihat ketegasan Abdul Rahman Bin Auf dalam mengekalkan harga penjualan untanya pada harga kos walaupun hakikatnya pada ketika itu beliau mampu meniru peniaga-peniaga lain dalam meninggikan harga jualan (Zakaria, 2011).

Strategi seterusnya adalah beliau sentiasa bersyukur walaupun untung sedikit (Harakah Daily, 2014). Menurut Abdul Rahman Bin Auf,  “Aku tidak pernah menolak keuntungan walaupun sedikit” (Zakaria, 2011). Prinsip ini yang sudah semakin lupus didalam diri ahli-ahli perniagaan zaman kini. Kita dapat mempelajari bahawa jangan sesekali mengambil mudah soal keuntungan yang bakal diambil dari pembeli dan jangan pula mengambil mudah soal halal dan haram dalam perniagaan. Sebagai contoh, sekiranya kita mempunyai kos tanggungan seperti kos penghantaran, kita harus bijak mengira kos supaya keuntungan dapat ditampung walaupun kos penghantaran produk biasanya tidaklah seberapa. Dari segi halal haramnya, jangan pula ada unsur-unsur riba dalam menguruskan perniagaan. Jelas kelihatan ketegasan Abdul Rahman bin Auf dalam bermuamalat iaitu dalam memastikan perniagaan yang dijalankannya itu tiada unsur-unsur yang diharamkan dalam Islam dan memastikan mendapat keredaan-Nya.

          Strategi ketiga pula ialah jangan menyiksa pelanggan (Harakah Daily, 2014). Sekiranya ada permintaan, beliau akan sedaya upaya mendapatkan barangan yang diminta oleh pelanggan. Strategi ini boleh diaplikasikan dalam perniagaan yang dijalankan. Ada segelintir usahawan yang bersikap malas dan mengambil mudah perkara ini. Sekiranya pelanggan bertanyakan tentang sesuatu barangan, peniaga hanya membiarkan pelanggan berlalu pergi dengan menyatakan, “Barang yang diingini tidak dijual disini”. Peniaga yang bijak tidak akan mudah melepaskan pelanggan seperti ini, sebaliknya akan berusaha sedaya upaya mendapatkan bekalan barangan yang diminta dari jaringan rakan-rakan perniagaannya yang lain. Ketegasan beliau dapat dilihat dalam memastikan pelanggan berpuas hati dengan layanan beliau.


          Strategi yang keempat ialah mengamalkan erti hidup adalah memberi (Harakah Daily, 2014). Untuk Perang Tabuk, Abdul Rahman menderma lebih daripada RM25 juta (200 dinar, 500 ekor kuda dan 1500 ekor unta). Kekayaannya langsung tidak berkurangan, bahkan Allah melipat gandakan lagi harta kekayaannya. Jika ada yang bertanya tentang rahsia bisnesnya, Abdul Rahman bin Auf akan menjawab, “Aku tidak menjual barang-barang yang rosak. Aku merasa cukup dengan untung yang sedikit tetapi diberkati oleh Allah” (Zakaria, 2011). Berbisnes di dunia, untung sampai ke akhirat. Beliau tegas terhadap diri beliau sendiri bahawa kekayaan yang dimiliki oleh beliau adalah daripada Allah SWT dan sewajarnya beliau menginfakkan sebahagiannya di jalan Allah. Beliau boleh memilih untuk bersenang-lenang dengan kekayaan itu tetapi beliau memilih untuk bersikap tawaduk dan bersyukur dengan apa yang dimiliki (Zakaria, 2011).

No comments:

Post a Comment