Friday 24 April 2015

INISIATIF (INITIATIVE)


         
Lahir di Tanjung Piandang, Perak dan dibesarkan di Selangor (Herman, 2014), Dato' Haji Ramly Bin Mokni, merupakan usahawan tanah air yang cukup terkenal dengan produk makanan segeranya iaitu Burger Ramly. Bagi menjadi seorang usahawan yang berjaya, seseorang itu perlu memiliki ciri-ciri tertentu sebagai seorang usahawan dan antara ciri-ciri itu adalah inisiatif. Dato' Ramly Mokni merupakan antara usahawan yang sesuai dijadikan contoh bagi menggambarkan ciri inisiatif tersebut. Inisiatif membawa maksud sikap seseorang yang melakukan sesuatu bukan kerana terpaksa oleh keadaan sekeliling mahupun seseorang (Nor, 2011). Dalam erti lain, inisiatif ini adalah seseorang yang giat berusaha bagi membangunkan kehidupan diri serta giat berfikir idea-idea baru untuk mengembangkan perniagaan mereka. Burger Ramly merupakan produk makanan segera popular tanah air yang kemudiannya menular popularitinya ke Singapura dan menjadi makanan segera popular di kalangan penduduk Singapura pula (Herman, 2014).
          Dulunya beliau hanya bermula sebagai pemotong daging di sebuah pasaraya di ibu kota pada awal 70-an, di mana ketika itu kebanyakan makanan sejuk beku tidak dapat dipastikan status halal haramnya (Herman, 2014). Mengambil peluang yang ada di depan mata, beliau mendapat idea untuk menghasilkan makanan sejuk beku yang halal untuk memenuhi permintaan umat Islam di Malaysia. Beliau seorang yang bijak menggunakan peluang yang ada dan penuh inisiatif walaupun ideanya itu pernah diperlekehkan sesetengah pihak dan juga pihak bank yang tidak yakin dengan kekuatan produk beliau. Namun, sokongan keluarga terutama isterinya yang sentiasa memberikan dorongan kepadanya menjadi pembakar semangat baginya untuk terus berjaya. Berbekalkan dengan simpanan sendiri dan juga bantuan pinjaman yang diberikan oleh Bank Pembangunan dan Malaysia Berhad telah membolehkannya mengorak langkah untuk memajukan perniagaannya (usahawan.com).      
            Walaupun dihimpit pelbagai cabaran dan halangan, namun, berbekalkan keyakinan yang tinggi, beliau telah dapat mengembangkan perniagaannya daripada hanya mengeluarkan daging burger sebanyak 300 keping sehari kepada 30 tan daging sehari selepas 20 tahun dalam dunia perniagaan (usahawan.com). Antara produk di bawah jenama Ramly adalah daging burger ayam dan daging, rangkaian produk nugget, jejari, sosej dan banyak lagi (Herman, 2014). Bagi memastikan kualiti produknya sentiasa berada di tahap terbaik bagi memenuhi citarasa pelanggannya, Makmal Mikrobiologi Ramly telah ditubuhkan. Tujuan penubuhan makmal ini adalah untuk memastikan produknya adalah suci dan selamat untuk dimakan pengguna. Proses bermula dari pemilihan bahan mentah sehinggalah produk siap dihasilkan. Selain itu, makmal yang lengkap dengan peralatan berteknologi tinggi ini juga berfungsi sebagai satu tempat penyelidikan dan pembangunan produk Ramly (usahawan.com).
          Bermula dengan pengeluaran secara manual dan kecil-kecilan, Haji Ramly kini telah berjaya mengembangkan perniagaannya ke tahap komersial. Syarikat induknya iaitu Ramly Mokni Holding Berhad dan anak-anak syarikatnya iaitu Ramly Food Processing Sdn. Bhd., Pemasaran Ramly Mokni Sdn. Bhd., Ramly Supermart Sdn. Bhd. dan Ramly Mokni Bakeri Sdn. Bhd (usahawan.com).  Syarikat telah diberikan pengiktirafan sebanyak tiga kali oleh Bank Pembangunan atas kecemerlangan dan prestasi baik yang sentiasa ditunjukkan oleh mereka. Pada tahun 2008 pula, Ramly Food Processing Sdn. Bhd. telah mengambil satu keputusan besar dengan membuat pelaburan menjangkau RM15 juta bagi pembesaran kilang di Taman Perindustrian IKS, Batu Caves, Kuala Lumpur (usahawan.com). Melalui pembesaran kilang ini yang disertakan juga dengan penggunaan teknologi yang lebih baik, dilihat dapat meningkatkan hasil pengeluaran sehingga tiga kali ganda dengan kualiti yang sama standardnya (usahawan.com).
            Antara isu besar yang dihadapi Haji Ramly adalah isu DNA babi di dalam produk Ramly Burger yang heboh diperkatakan suatu ketika dahulu (usahawan.com). Hal ini terjadi berikutan sebuah blog yang memaparkan salinan surat dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah yang mendakwa  jabatan berkenaan bagi Daerah Yan telah menemui DNA babi hasil kajian terhadap satu sampel produk Ramly Burger di sana. Namun perkara ini telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Haji Ramly yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ramly (usahawan.com). Dalam surat terbuka bertarikh 1 Disember 2011, beliau mendakwa bahawa isu ini adalah satu fitnah untuk mensabotaj syarikatnya yang 100% dimiliki oleh keluarga beliau yang beragama  Islam dengan hampir 1,000 kakitangan yang kesemuanya juga beragama Islam (usahawan.com). Beliau menambah, syarikatnya amat menitik beratkan soal halal haram dan mempunyai jawatankuasa halal untuk memastikan status halal  produk sebelum dikeluarkan di pasaran (usahawan.com).
          Selain isu DNA babi, syarikatnya juga menghadapi isu dituduh bertukar tangan dengan syarikat bukan bumiputera (Herman, 2014). Namun, perkara itu telah dinafikan oleh Pengurus Kanan Pemasaran Ramly Mokni Sdn. Bhd., Siti Hayu Ramly. Siti Hayu yang juga anak kepada Haji Ramly menyatakan bahawa pegangan syarikat itu tidak pernah dijual kepada mana-mana pihak dan masih kekal di tangan pengasasnya iaitu Haji Ramly bin Mokni (Herman, 2014). Walau bagaimanapun, khabar-khabar angin yang hangat diperkatakan itu langsung tidak menjejaskan perniagaan Kumpulan Ramly malah permintaan terhadap produknya terus meningkat tahun demi tahun (usahawan.com).









No comments:

Post a Comment